KOTA KINABALU: Parti Kerjasama Anak Negeri (ANAK NEGERI) menamakan pakar ekonomi wanita, Dionysia Ginsos, sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Dionysia, 33, anak jati Kinabaan, Tambunan, bakal berdepan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, 78, yang dijangka mempertahankan kerusi berkenaan.
Pencalonan Dionysia disahkan oleh Presiden ANAK NEGERI, Datuk Henrynus Amin.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Pembangunan dan Perancangan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dionysia menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili ANAK NEGERI pada PRN kali ini.
Katanya, walaupun dilihat sebagai calon ‘underdog’, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mendapatkan sokongan rakyat Tambunan, khususnya pengundi muda.
“Dalam politik, tiada yang mustahil. Seperti cili padi, kecil tapi berani. Tiada siapa kata perjuangan itu mudah, tapi tiada juga yang kata ia mustahil.
“Yang penting keyakinan dan usaha. Apa yang nampak mustahil boleh jadi kenyataan,” katanya.
Dionysia turut menyeru penduduk Tambunan agar berani bangkit dan melakukan perubahan demi masa depan yang lebih cerah pada PRN Sabah pada 29 November ini.






