Lima Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Kg Tunggul Tinggi, Sipitang

Lima Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Kg Tunggul Tinggi, Sipitang

0
SHARE

SIPITANG: Lima individu cedera selepas dua kenderaan, masing-masing jenis Toyota Avanza dan Perodua Rusa, terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Tunggul Tinggi, Sipitang petang kelmarin.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui talian MERS999 pada jam 5.07 petang.

Susulan itu, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang diketuai PBK I Syahdennie Alidinsah dikerahkan ke lokasi sejauh kira-kira 7 kilometer.

Setibanya di lokasi pada jam 5.14 petang, pasukan mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan dengan lima orang mangsa, dua dari Perodua Rusa dan tiga dari Toyota Avanza.

Menurut Komander Operasi, tiga mangsa dari Toyota Avanza telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Sipitang. Kesemua mereka mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, dua mangsa di dalam Perodua Rusa, seorang lelaki berusia 67 tahun yang tersepit di tempat duduk pemandu, serta seorang wanita berusia 51 tahun yang cedera ringan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan penyelamat dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Operasi turut melibatkan kerja-kerja pembersihan serpihan kemalangan di atas jalan menggunakan hose reel, bagi memastikan keadaan selamat untuk pengguna lain.

Kebakaran atau tumpahan minyak tidak dilaporkan, dan operasi disahkan tamat sepenuhnya pada jam 6.38 petang.