KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyeru Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) serta sektor swasta agar memainkan peranan aktif dalam membantu membentuk pembangunan Bandar Pintar (Smart City) di negeri ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan terhadap usaha merealisasikan pembangunan bandar pintar di Penampang dan Kota Kinabalu, yang akan menjadi model inovasi bandar berasaskan teknologi dan kelestarian untuk masa depan Sabah.
“Melihat ke hadapan, pembangunan Bandar Pintar akan menjadi fokus utama bagi Sabah. Saya menggalakkan SHAREDA dan sektor swasta untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk bandar pintar ini dengan mengintegrasikan teknologi, kelestarian dan keperluan komuniti bagi mewujudkan ruang kehidupan yang lebih pintar dan selesa untuk masa depan,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun SHAREDA ke-47 di Magellan Sutera Resort, malam tadi.
Hajiji menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memupuk persekitaran mesra pelabur dan kondusif, bagi menggalakkan inovasi dan pelaburan sektor hartanah.
“Kami komited untuk memperkemas prosedur, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta memastikan dasar kami kekal telus, adil dan menyokong keyakinan pelabur,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyediaan perumahan mampu milik dan berkualiti kekal sebagai keutamaan kerajaan negeri, khususnya bagi golongan B40 dan M40, melalui kerjasama erat dengan sektor swasta.
Ketua Menteri turut memuji tumpuan SHAREDA terhadap pembangunan hijau dan lestari, yang disifatkannya selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pendekatan berpandangan jauh ini memastikan pertumbuhan yang kita usahakan hari ini tidak akan menjejaskan keperluan generasi akan datang,” ujarnya.
Hajiji turut menghargai kerjasama erat SHAREDA dengan kerajaan negeri dalam memajukan agenda pembangunan Sabah.
“Sektor hartanah kekal sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negeri, ia membawa pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan di Sabah perlu kekal seimbang dan inklusif, agar manfaat kemajuan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat serta memberi nilai jangka panjang kepada generasi akan datang.






