SEPANG – Tular di media sosial dipercayai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia.
Memetik sumber BebasNews, menteri terbabit didakwa masuk ke dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan dan dipercayai bertindak sedemikian bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang tidak dibenarkan memasuki negara ini sebaik tiba di lapangan terbang terbabit.
Difahamkan, menteri terbabit yang mendapat tahu mengenai tahanan itu telah ke KLIA dan memasuki ke dalam dewan ketibaan tanpa memohon pas.
“Bila dihalang, dia menggunakan kuasa menterinya dan marah Polis Bantuan KLIA dan pegawai imigresen kerana mahu menyelamatkan wanita warga China itu yang ditahan memasuki negara semasa tiba semalam,” jelas sumber.
Menurut sumber juga , dipercayai ini merupakan kali ketiga menteri itu melakukan tindakan itu terhadap penumpang yang ditahan masuk.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sekiranya membabitkan pelawat rakyat China atau negara lain.