SINGAPURA – Sebuah syarikat di Singapura menyediakan ‘Bilik Berkecai’ untuk orang ramai melepaskan kemarahan dengan menghayun kayu besbal dan memecahkan pelbagai barang seperti botol serta set televisyen.
AFP melaporkan bahawa bilik kosong dengan dinding konkrit itu mengenakan bayaran untuk pelanggan melakukan kemusnahan bagi melepaskan geram mereka.
Selepas menyarung topi keledar, sarung tangan dan kaki, pelanggan boleh terus memukul bertalu-talu pelbagai barang daripada pinggan mangkuk hinggalah kepada mesin pencetak.
Dibuka di Singapura enam bulan lalu, Bilik Berkecai menerima sambutan menggalakkan termasuk daripada pekerja pejabat, pelajar dan pesara.
Walaupun Singapura dikenali sebagai bandar raya serba moden dan mewah, ia juga sinonim dengan tekanan tinggi yang dihadapi penduduknya sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak.
“Semua orang di Singapura tanpa mengira keturunan, latar belakang dan umur mengalami tekanan,” kata pengasas Bilik Berkecai, Royce Tan.
Premis itu yang juga terdapat di sebilangan bandar raya lain di dunia, menawarkan dua pakej iaitu slot 30 minit bersama barangan terhad untuk dimusnahkan pada harga S$38 (RM118), manakala ‘pakej kehancuran’ berharga S$350 (RM777) membolehkan pelanggan memusnahkan sebanyak mana barangan yang mereka mampu dalam masa setengah jam.