SELANGOR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, menafikan dakwaan di media sosial yang mengaitkan anaknya dengan insiden kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, di Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
Beliau menegaskan tiada seorang pun anaknya bernama “Farisha” atau bersekolah di institusi tersebut.
Menurut Mohd Arifin, ketika Allahyarhamah dirawat di hospital, beliau bersama Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hadir menziarahi ibu pelajar berkenaan sebagai tanda keprihatinan.
“Pertamanya, ketika arwah masih dirawat, saya bersama Ketua Pengarah KPM telah bertemu dan menziarahi ibu beliau.
“Keduanya, empat hari selepas arwah meninggal dunia, saya bersama rombongan Yayasan Sabah dan wakil rakyat Sindumin telah pergi ke Sipitang untuk menziarah keluarga serta menyampaikan salam daripada Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bersama mahasiswa Sabah, hari ini.
Beliau menegaskan, dakwaan yang menyebut nama “Farisha” sebagai anaknya adalah fitnah dan tidak berasas.
“Saya tidak ada anak bernama sedemikian dan tiada anak saya yang belajar di sekolah menengah berkenaan,” katanya.
Mohd Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Negeri turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, selain menyeru keluarga mangsa agar tabah menghadapi ujian.
“Kita tunggu hasil siasatan polis. Kita tidak akan berkompromi berhubung apa yang berlaku kepada pelajar ini, dan kita minta supaya siasatan terbuka terus dilaksanakan demi keadilan untuk arwah,” tegasnya.






