PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat pendedahan terdapat cubaan untuk mengharamkan UMNO pernah ‘dipatahkan’ seseorang.
Memetik sumber Berita Harian, Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti sebenar ‘seseorang’ yang dimaksudkan terbabit.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah matlamat dan objektif penubuhan BERSATU untuk menggantikan UMNO tercapai, selepas memperoleh kemenangan 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya telah bagi tahu daripada awal-awal bahawa matlamat penubuhan BERSATU jelas secara tersurat dan tersirat untuk membunuh UMNO. Jelas bahawa di dalam PRU15, matlamat ini sebenarnya jauh daripada sasaran mereka…
“Kita harap, ini akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat, khususnya ahli-ahli akar umbi bahawa tujuan halus mereka itu mesti ditolak ahli-ahli UMNO keseluruhannya.
“Kita tahu bahawa matlamat mereka lebih jauh daripada itu sebenarnya, apabila buat pertama kalinya ketika seseorang menjadi Menteri Dalam Negeri, yang di atas mejanya telah ada surat untuk mengharam dan membatalkan UMNO.
“Namun kita telah mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang telah dapat membatalkan hasrat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selelas menghadiri sambutan ulangtahun ke-10 Persatuan Usahwan Wanita Cina Malaysia (WCWEA), di sini, semalam.






