KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 246 orang atlet pemanah tradisional dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, Labuan, Brunei dan Indonesia telah menyertai Kejohanan Kota Kinabalu International Invitation (KK International Invitation) 2022 yang dilaksanakan bermula pada 10 sehingga 11 Disember lalu bertempat di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kejohanan memanah tradisional terbabit dianjurkan oleh Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA) dengan kerjasama beberapa kelab memanah tradisional di daerah Kota Kinabalu iaitu Sedi Belud Traditional Archery Club (SEBELTRAC), Kelab Memanah Tradisional Ikram Kota Kinabalu (KEMTRIKK), Kelab Memanah Tradisional Tuatra (TUATRA), Kelab Memanah Tradisional Al-Hafidz, Kelab Memanah Tradisional Al-Hikmah dan Kelab Memanah Tradisional UMS (KATRAUMS) disamping turut disokong Persatuan Memanah Tradisional Kota Kinabalu (PMTKK) serta rakan strategik Kesatria iaitu Rawja Archery.




Presiden KESATRIA, Md Suhaimi Sapiee berkata sebanyak 37 kelab dan kumpulan memanah tradisional, disamping beberapa peserta persendirian yang turut sama menyertai kejohanan ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejohanan merangkumi dua jenis format pertandingan. Antaranya format Memanah Statik membabitkan kategori panahan jarak berperingkat dari jarak jauh sehingga dekat (descending shooting) dan panahan pantas (fast shooting).
Manakala satu lagi format pertandingan yang dipertandingkan dalam kejohanan ini ialah format Memanah Dinamik yang melibatkan memanah dalam pelbagai posisi dan jenis target yang harus diselesaikan dalam 24 ‘check point’.


“Kejohanan ini adalah bagi membuat persiapan memilih wakil rasmi Sabah untuk berentap dalam Liga Memanah Tradisional Kebangsaan (LMTK) yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan di negeri ini…
“Disamping itu, kejohanan ini juga dilaksanakan bagi meraikan pemanah tradisional dari luar Sabah dan juga antarabangsa seperti Brunei dan Indonesia.
“Insya Allah selepas ini kita akan fokus dengan persiapan untuk pelaksanaan Pertandingan Memanah Tradisional Peringkat Negeri Sabah dan Festival Memanah Tradisional Sabah Antarabangsa 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.





