Polis Marin Sandakan Tahan Kapal Nelayan Kerana Menunda Ikan Berdekatan Pantai

Polis Marin Sandakan Tahan Kapal Nelayan Kerana Menunda Ikan Berdekatan Pantai

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Pasukan Polis Marin Sandakan Sabah berjaya menahan sebuah kapal nelayan kerana menunda terlalu dekat dengan pantai Tanjung Layar-layar pada malam Isnin.

Kejadian lebih kurang jam 7.30 malam itu dikesan sepasukan 4 anggota semasa melakukan Ops Gelora Khas.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan, DSP Rusdin Bin Banin berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tunda berkenaan telah melakukan kesalahan di Seksyen 8 (b) di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kapal tunda tersebut telah ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang 3 Batu Nautika dari persisiran pantai laut berkenaan…

“Kapal beserta juragan bersama 4 orang krew bot kesemuanya warganegara Indonesia yang berdaftar telah ditahan.

“Bot nelayan dan beberapa peralatan seperti pukat tunda dan pelbagai hasil laut berat lebih kurang 200 kilogram turut dirampas,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Bot nelayan yang ditahan telah dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk pemeriksaan lanjut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan.

“Bagi kesalahan pertama, pemilik kapal akan dikompaun sebanyak RM500, kesalahan kedua RM1,000 dan kesalahan ketiga RM1,500, dan sekiranya kesalahan berulang lesen boleh dibatalkan dan kapal disita,” tambah beliau.

Masyarakat maritim boleh menyalurkan maklumat kepada Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 24-jam di 0132831197.