KOTA KINABALU, SABAH – Parti Progresif Sabah (SAPP) berterima kasih atas penghantaran pertama 200,000 vaksin dos tunggal CanSino yang tiba dari pembekal CanSino Biologics, China semalam.
Vaksin COVID-19 dos tunggal yang pertama bagi Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH361 pada pukul 8.43 pagi Jumaat.
Menurut Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, Vaksin CanSino akan mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah, terutamanya untuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan mengalami kesukaran hadir ke pusat vaksin di pekan-pekan terdekat.
Katanya, vaksin tunggal akan mengelakkan beban dua kali perjalanan penduduk tersebut bagi melengkapkan dos mereka.

“Kejayaan program vaksinasi akan membawa kepada pemulihan ekonomi negara dengan lebih awal yang sangat kita perlukan…
“Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini mengatakan bahawa Sabah telah memohon 1.8 juta vaksin CanSino,” katanya.
Yong turut mencadangkan agar vaksin dihantar terus dari Beijing ke Kota Kinabalu tanpa perlu melalui KLIA.
“Ini untuk mengelakkan kemungkinan vaksin dihantar ke tempat lain,” tegasnya.