KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bera, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan selepas selesai mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara sebentar tadi.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang hari ini.
Pada istiadat itu, Ismail Sabri kemudiannya menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.
Ismail yang juga Naib Presiden UMNO itu yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu ekoran daripada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.