Pendaftaran PADU Tamat Hari Ini, Lebih 10 Juta Rakyat Malaysia Sudah Kemas...

Pendaftaran PADU Tamat Hari Ini, Lebih 10 Juta Rakyat Malaysia Sudah Kemas Kini Maklumat

0
SHARE
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Pendaftaran dan kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tamat pada hari ini (31 Mac).

Menurut statistik rasmi dari laman web PADU, setakat 11.59 malam semalam, seramai 10.61 juta rakyat Malaysia mengemas kini maklumat mengenai sistem tersebut. 

Pada 23 Mac lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak bercadang untuk meneruskan proses pendaftaran dan kemas kini sistem PADU yang akan berakhir hari ini.

Ini kerana, menurut beliau, kerajaan perlu mematuhi jadual bagi membolehkan penstrukturan semula subsidi dilaksanakan.

“Setakat yang saya boleh katakan kami tidak bercadang untuk meneruskan mulai 31 Mac. Perdana Menteri telah pun mengumumkan kepada pekerja bebas bahawa tahun ini kami akan menyusun semula subsidi pukal dan bergerak ke arah subsidi yang disasarkan. Jadi jika saya mempunyai ruang, sudah tentu saya senang nak sambung.

“Cuma jika kita meneruskan (tempoh pendaftaran dan pengemaskinian) bermakna kita juga menolak pelaksanaan subsidi bersasar pada masa hadapan di mana bagi setiap bulan penggantungan, kerajaan membayar sekurang-kurangnya RM2 bilion subsidi minyak pukal (petrol),” katanya. 

Turut dilaporkan, individu yang mengemas kini maklumat PADU meningkat secara mendadak menjelang tarikh akhir pendaftaran hari ini di mana sehingga tengah malam semalam, lebih 9.8 juta penduduk di negara ini berjaya mengemas kini maklumat mengenai PADU.

PADU telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu sebagai pangkalan data berkaitan maklumat prinsip demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.

Objektifnya adalah untuk menyediakan pangkalan data utama negara untuk pengeluaran analisis biasa dan pendigitalan yang lancar, mengukuhkan asas dan proses untuk membuat keputusan berasaskan data dan mengimbangi kedudukan fiskal melalui pelaksanaan dasar yang disasarkan.