KYS, UMS dan Jabatan Perhutanan Sabah Komited Terajui Projek TUB

KYS, UMS dan Jabatan Perhutanan Sabah Komited Terajui Projek TUB

0
SHARE
Arifin
Arifin (tengah) diiringi Ghulamhaidar dan Kasim (kiri) menyempurnakan gimik perasmian majlis ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) komited menerajui usaha melestarikan sumber biologi di negeri ini menerusi Projek Bioprospek Penyelidikan dan Pembangunan Kulat Liar, Halia Liar dan Tumbuh-tumbuhan Ubatan dan Aromatik (TUB).

Komitmen tersebut direalisasikan dalam Memorandum Perjanjian TUB oleh pihaknya bersama Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditandatangani oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan mewakili Jabatan Perhutanan Sabah dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mohd. Mansur.

Majlis menandatangani memorandum perjanjian tersebut disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif di ibu negeri, pada Selasa.

Berucap pada majlis itu Arifin berkata, Projek TUB ialah inisiatif penyelidikan yang bertujuan untuk mengidentifikasikan spesies kulat liar dan halia liar khususnya Tuhau yang berpotensi untuk dikomersialkan pada masa depan sebagai langkah proaktif untuk mengatasi ancaman terhadap sekuriti makanan secara global.

“Projek TUB ini telah dijalankan di Kawasan Konservasi Lembah Danum, Lembangan Maliau, Kanyon Imbak dan kawasan pemuliharaan seperti Projek Rehabilitasi Hutan Hujan Innoprise-FACE Foundation (INFAPRO) dan Projek Rehabilitasi Hutan Tropika Innoprise-IKEA (INIKEA) di bawah seliaan Kumpulan Yayasan Sabah.

“Bagi menguruskan biodiversiti spesies kulat liar dan halia liar khususnya Tuhau, inisiatif ini telah dirumuskan dengan lima objektif utama untuk tempoh masa selama lima tahun,” ujar beliau.

Menurut Arifin, kemajuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta inovasi yang diterajui bersama KYS, Jabatan Perhutanan Sabah dan UMS termasuk sektor hiliran bagi pengeluaran produk komersial turut menawarkan peluang ekonomi kepada para pengusaha dan industri tempatan, selain menyumbang kepada pembangunan industri penyelidikan negara.

“Seperti yang termeterai dalam memorandum perjanjian yang ditandatangani, Projek TUB telah berjaya mendapat peruntukan RM5 juta untuk tempoh lima tahun bermula tahun 2021 hingga 2025 di bawah sumber dana Persekutuan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Projek TUB ini juga bertujuan untuk melahirkan siswazah PhD dan MSc dalam bidang berkaitan dan untuk membangunkan jaringan kolaboratif antara akademia dan agensi kerajaan dalam industri penyelidikan.

“Selain itu, projek ini juga telah melahirkan prototaip produk dan bio-kimia yang berbentuk novel serta mengintegrasikan pengetahuan teknologi melalui demonstrasi, penerbitan dan bengkel kepada komuniti dan usahawan setempat,” dedah beliau.

Beliau memuji inisiatif yang diambil oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Jabatan Perhutanan Sabah yang terus menyokong usaha KYS dan UMS dalam memelihara dan memulihara sumber alam semula jadi.

“Saya yakin projek TUB ini akan mendorong dalam kemajuan bidang penyelidikan dan pembangunan serta inovasi yang diterajui, termasuk di sektor hiliran bagi pengeluaran produk komersial yang akan menawarkan peluang ekonomi serta memastikan pengurusan sumber asli di Sabah secara mampan.

“Syabas dan tahniah kepada Yayasan Sabah atas kolaborasi berterusan dengan agensi yang berkaitan dengan penyelidikan di samping YS sendiri mempunyai badan penyelidikan bersama UMS dan Jabatan perhutanan membuat penyelidikan yang amat baik untuk hasil spesis hutan di Sabah yang perlu dilestarikan.

“Yang amat menarik, spesis ini mendapat kajian daripada luar biasa daripada UMS malah mahasiswa UMS juga membuat penyelidikan pembelajaran mereka Sarjana, Sarjana Muda dan PhD. kita harap hasil daripada ini akan mendatangkan manfaat dari segi penyelidikan dan produk yang dihasilkan dari hutan kita,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, Arifin turut melancarkan dua buah buku, “Kehidupan dan Adat Suku Murut Tangala Kampung Inarad, Tongod” dan “Kepercayaan, Ritual dan Adat Suku Tombonuo, Lingkabau, Sugut” yang diterbitkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah, sebelum menyampaikannya masing-masing kepada Presiden Persatuan Etnik Murut Tangala’ Sabah (PEMUTAS), Yus Pg Pinsin dan Ketua Anak Negeri Suku Tombonuo Mukim Lingkabau Sugut, Julley Bilak.

Turut diadakan, seminar berkenaan dengan projek TUB dan dapatan hasil kajian yang terkini yang disertai oleh 150 pegawai dari pelbagai jabatan, agensi, organisasi dan institusi untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi khazanah hutan. — JABATAN PENERANGAN SABAH