Kerajaan Negeri Sabah Komited Bantu Rakyat Bagi Pulihkan Kehidupan Terjejas Akibat COVID-19

Kerajaan Negeri Sabah Komited Bantu Rakyat Bagi Pulihkan Kehidupan Terjejas Akibat COVID-19

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Kerajaan negeri menerusi Bantuan Prihatin COVID-19 2.0 telah menyalurkan sejumlah RM97,371,900 kepada 324,573 penerima untuk bantuan tunai ‘one-off’ RM300, setakat 5 April 2021.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor, berkata manakala sebanyak 296,638 bakul makanan atau kira-kira 93.93 peratus (93.93%) juga sudah diagihkan kepada penerima untuk tempoh yang sama.

Katanya, pengagihan pelbagai bantuan ini membuktikan kerajaan negeri komited membantu rakyat daripada pelbagai aspek bagi memulihkan kehidupan yang terjejas berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Kerajaan negeri pada tahun lalu, memperuntukkan bantuan tambahan sebanyak RM160 juta dalam Bantuan Prihatin COVID-19 untuk mereka yang terkesan dengan pandemik berkenaan…

“Bantuan RM160 juta itu adalah tambahan kepada peruntukan segera sebanyak RM50 juta yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada awal bulan Oktober lalu,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Amal Bantuan Bakul Makanan Maxis di Dewan Terbuka Masjid Haji Noor, Kampung Serusup, di sini hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor bersama tetamu dan sebahagian daripada penerima kotak makanan, sempena majlis berkenaan…

Turut hadir pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai; Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Husaain dan Ketua Wilayah Sabah, Maxis, Bhaarathyraja Thanapal.

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan terima kasih kepada Maxis yang memberi sumbangan berupa bakul makanan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik itu di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor menyampaikan sumbangan kotak makanan daripada Maxis kepada penerima-penerima di Tuaran…

“Alhamdulillah banyak syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu dan berharap lebih ramai lagi yang akan membantu,” katanya.

Beliau turut meminta rakyat di negeri ini akan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan berdisiplin agar penularan COVID-19 dapat diputuskan.

“Kerajaan menerusi jabatan dan agensinya serta pemimpin di peringkat akar umbi, turut turun padang untuk menjelaskan mengenai manfaat untuk mendapatkan vaksin…

“Saya meminta mereka yang belum mendaftar (untuk imunisasi) agar segera berbuat demikian. Saya sendiri sudah dua kali mengambil vaksin ini dan tiada apa-apa berlaku. Jangan takut dan jangan mudah percaya dengan apa yang dibaca di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Bhaarathyraja berkata Maxis memperuntukkan RM1 juta kepada GLC/GLIC Disaster Response Network (GDRN) untuk kempen industri “To Malaysia With Love” untuk barisan hadapan dan rakyat yang terkesan dengan COVID-19.

“Dalam fasa pertama kempen itu, Maxis telah menyumbang RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) untuk menyediakan 5,000 kotak makanan kepada rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19 dan banjir…

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,000 kotak makanan disalurkan kepada golongan B40 di Sabah, dengan 1,700 daripada sudah diagihhkan bermula Januari lalu. Antaranya di Kinarut, Kanibongan, Kota Belud, Papar, Penampang, Beaufort, Putatan, Tawau dan Lahad Datu.

“Hari Ini, sebanyak 300 kotak makanan diagihkan di tiga kampung di Tuaran iaitu Serusup, Tajau dan Bolong Lama,” katanya.