Lima Pemuzik Nusantara Berkolaborasi Dalam ‘Tur SAMA-SAMA’ di KL 5 Disember Ini

Lima Pemuzik Nusantara Berkolaborasi Dalam ‘Tur SAMA-SAMA’ di KL 5 Disember Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Lima figura hebat industri muzik Nusantara termasuk Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf, bakal menggegarkan pentas Idea Live Arena, Kuala Lumpur menerusi konsert kolaborasi istimewa “Tur SAMA SAMA” pada 5 Disember 2025, jam 7.30 malam.

Konsert ini menjadi penutup siri jelajah Tur SAMA SAMA selepas mencipta fenomena di empat bandar utama Indonesia, iaitu Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor.

Janji Tulus kepada peminat ketika persembahan terakhir di Bogor kini tertunai apabila Malaysia menjadi destinasi kelima siri jelajah tersebut.

Menurut penganjur bersama PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu dan Thrive, penganjuran di Kuala Lumpur merupakan impian besar yang direalisasikan hasil sambutan luar biasa peminat terhadap persembahan lima artis berpengaruh ini.

“Kolaborasi unik ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi gabungan kreatif lima pemuzik yang akan tampil dalam format solo, duet, trio dan kuintet, membawakan lagu masing-masing serta pertukaran lagu dengan susunan khas eksklusif untuk tur ini,” jelas wakil penganjur.

Tiket pra-jualan (presale) yang dilancarkan sejak 29 September 2025 mendapat sambutan hangat dan kini dilanjutkan dari 19 Oktober hingga 2 November 2025 atas permintaan peminat.

Tiket bermula dari RM228 dengan 11 kategori, iaitu Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite, boleh dibeli menerusi BBO Events dan samasamatur.com.

Konsert ini turut disokong oleh Tourism Malaysia dan Cuti-Cuti Malaysia, dengan myBCA sebagai bank rasmi, ERA, Sinar dan THR Gegar sebagai radio rasmi, serta Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi.