Detik Cemas, Bomba Selamatkan Kanak-Kanak 4 Tahun Terkurung Dalam Isuzu Dmax

Detik Cemas, Bomba Selamatkan Kanak-Kanak 4 Tahun Terkurung Dalam Isuzu Dmax

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun berdepan detik mencemaskan apabila dia terkunci di dalam sebuah kenderaan jenis Isuzu Dmax di kawasan tempat letak kereta berhampiran kedai MR.DIY, Jalan Kastam Lama, petang kelmarin.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 3 kilometer.

Pasukan yang diketuai oleh PBK II Oma Tome bersama tujuh anggota tiba di lokasi pada jam 4.03 petang dan mendapati seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri berada di dalam kenderaan yang terkunci.

“Bagi menyelamatkan mangsa, anggota bomba bertindak memecahkan cermin kenderaan bagi mengeluarkan mangsa dengan segera.

“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” jelas Bomba Sabah dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi disahkan tamat sepenuhnya pada jam 4.25 petang tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Balai BBP Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid, mengingatkan orang awam agar lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan walaupun untuk tempoh singkat bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.