TASHKENT: AirAsia X (AAX) hari ini meraikan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Tashkent, Uzbekistan, sekali gus menandakan pengembangan terbaharu rangkaian syarikat itu ke Asia Tengah serta mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pintu gerbang pelancongan serantau.
Laluan baharu ini menghubungkan Asia Tenggara dengan ibu kota Uzbekistan yang terkenal dengan warisan Laluan Sutera, dan dijangka membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, pendidikan, perdagangan serta pelaburan.
Pelancaran ini turut bertepatan dengan usaha promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang menyasarkan 47 juta pelancong antarabangsa.
Setakat ini, laluan Kuala Lumpur–Almaty yang dilancarkan pada tahun 2024 telah mencatat hampir 165,000 penumpang dengan faktor muatan 80 peratus.
Laluan ke Tashkent dijangka mengekalkan momentum tersebut dan menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan dua hala.
Sempena pelancaran itu, AAX menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak berkuasa pelancongan Uzbekistan bagi memperkukuh kerjasama promosi bersama dan pertukaran pelancong antara kedua-dua negara.
Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun berkata, pelancaran bersejarah ini menjadi simbol hubungan erat Malaysia–Uzbekistan dan menyokong agenda pelancongan negara menjelang VM2026.
“AirAsia X komited membuka laluan baharu yang mampu milik bagi memperkukuh hubungan serantau, pertumbuhan ekonomi dan pertukaran budaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail menjelaskan bahawa laluan baharu ini menjadikan kesalinghubungan antara Asia Tenggara dan Asia Tengah lebih mudah diakses dengan lebih 130 sambungan destinasi melalui perkhidmatan Fly-Thru AAX.
“Dengan Kuala Lumpur diiktiraf sebagai hab tambang rendah terbaik dunia, kami yakin laluan ini akan menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia,” katanya.
Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, T.Y.T. Dr. Karomidin Gadoev pula menyifatkan langkah AAX sebagai pencapaian penting yang memperkukuh kerjasama pelancongan Islam serta pertukaran budaya antara dua negara.
AirAsia X kini mengoperasikan penerbangan ke Tashkent sebanyak tiga kali seminggu, menawarkan lebih 82,000 tempat duduk setahun dengan tambang promosi bermula RM799 sehala.
Tempahan dibuka mulai hari ini hingga 26 Oktober 2025 bagi perjalanan sehingga 14 September 2026 melalui airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.






