
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan suami atau waris terdekat menemani isteri atau ibu hamil semasa proses kelahiran anak di wad bersalin tertakluk kepada kepada syarat-syarat tertentu dan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut KKM, kebenaran tersebut itu telah berkuat kuasa sejak Oktober 2021.
Sementara itu polisi serta garis panduan yang dikeluarkan ini adalah bersifat dinamik bergantung kepada situasi COVID-19 semasa.
“Begitu juga, pelaksanaannya di hospital tertakluk kepada situasi serta kapasiti atau kekangan tertentu di hospital tersebut. Ini bagi memastikan aspek penjagaan rawatan pesakit, keselamatan pesakit dan petugas kesihatan diutamakan.
“KKM sangat prihatin dan teliti dalam pelaksanaan polisi ini bagi memastikan wanita hamil serta bayi baru lahir terjaga kerana mereka merupakan merupakan golongan yang berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19,” kata KKM menerusi perkongsian dalam laman Facebook rasminya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihati agar menyemak dengan hospital terdekat mengenai polisi kebenaran menemani isteri di wad bersalin.
Bagi suami atau ahli keluarga yang ingin menemani ibu hamil bersalin di hospital, mereka perlu melengkapkan vaksinasi Covid-19 iaitu 14 hari selepas menerima dos kedua vaksin Pfizer, Sinovac serta Astra Zeneca atau 28 hari selepas menerima vaksin CanSino dan Johnson & Johnson.
Selain itu, mereka juga perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh 72 jam dan membawa keputusan ujian ke hospital atau membeli kit ujian kendiri dan menjalani ujian pengesanan di tempat saringan yang disediakan di hospital.