SINGAPURA – Gempar di Singapura petang semalam (14 April) apabila seorang lelaki berusia 46 tahun mengamuk dan menetak seorang wanita dipercayai isterinya menggunakan parang pencincang (chopper) di kawasan 75 Beach Road di sini.
Susulan laporan orang awam, polis segera bertindak balas terhadap kes itu kira-kira jam 5.30 petang.
Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki itu dikatakan mengelar pergelangan tangannya sendiri dengan menggunakan parang pencincang berkenaan sebelum pihak berkuasa tiba dan mangsa wanita itu ditemui di tempat kejadian dengan kesan tetakan menyebabkan dia berdarah dengan banyak akibat luka.
Polis Singapura dalam satu kenyataan malam tadi berkata, mangsa adalah seorang wanita berusia 41 tahun dipercayai isteri kepada lelaki itu.
Mereka menambah bahawa pegawai mengesan lelaki bersenjata itu di kawasan itu dan mengerahkan ‘Taser’ untuk menundukkannya sebelum membuat tangkapan.
Kedua-dua lelaki dan wanita itu dalam keadaan sedar ketika dibawa ke Hospital Tan Tock Seng. Senjata yang digunakan oleh lelaki itu juga telah dirampas dan siasatan sedang dijalankan, kata polis.
“Polis mengetahui tentang video yang tersebar dalam talian mengenai kejadian itu, dan ingin menggesa orang ramai untuk mengelak daripada menyebarkan video dan membuat spekulasi mengenai kes itu,” tambah mereka.
Lelaki berkenaan akan didakwa di mahkamah pada hari Sabtu ini. Jika didapati bersalah atas cubaan membunuh, dia berdepan hukuman penjara seumur hidup, penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, sejak petang semalam, tular rakaman kejadian menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam yang jelas menetak wanita itu beberapa kali ketika dia berbaring di atas jalan berhadapan sebuah bangunan berhampiran Zhong Hua Steamboat dan Hotel Calmo Bugis.

Berdasarkan video yang tular itu, orang awam yang juga sebahagian daripada kakitangan kedai makan berhampiran dilihat cuba menghalang lelaki itu dengan membaling objek seperti kerusi dan tong sampah.
