KOTA KINABALU, SABAH – Usaha mencari dan menyelamat seorang nelayan berusia 40 tahun yang dikhuatiri lemas di perairan berhampiran Pulau Gaya di sini ditangguhkan selepas dua hari.
Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata operasi akan disambung semula apabila menerima petunjuk baharu.
Mangsa, Omar Ajid, dikatakan keluar ke laut kira-kira pukul lima pagi Isnin lepas sebelum botnya dengan enjin masih hidup ditemui oleh penduduk Kampung Numbak di Menggatal pada jam 10 pagi.
Beliau dikatakan memakai baju lengan panjang berwarna merah dan seluar celoreng hijau.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah memperincikan kumpulan pencarian terdiri daripada Agensi Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Taman-Taman Sabah.





