Polis Penampang Buru Suspek Cuba Melarikan Pelajar Sekolah Menengah

Polis Penampang Buru Suspek Cuba Melarikan Pelajar Sekolah Menengah

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – Polis sedang giat menjalankan operasi bagi mengesan suspek yang mengganggu dan cuba melarikan seorang pelajar perempuan sekolah menengah di persimpangan Kampung Pagansakan, Inobong, sini Isnin lalu (11 April).

Insiden itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini apabila Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Inobong mengeluarkan kenyataan amaran kepada orang ramai.

Menurut pengerusinya, kejadian berlaku kira-kira pada jam 10 pagi apabila sebuah kereta berwarna biru dan bercermin gelap telah menghampiri seorang budak perempuan yang sedang berdiri menunggu bas untuk pergi ke sekolah.

“Di dalam kereta tersebut, didapati dua (2) orang lelaki berbadan besar dan tinggi, kelihatan berkulit hitam telah menghampiri budak tersebut dan mengajak budak tersebut untuk ikut memasuki kereta mereka.

“Dalam ketakutan budak tersebut menjauhkan diri lalu lari pulang ke rumah dan memberitahu kejadian tersebut kepada ibunya,” dakwanya.

Katanya, ibu bapa harus sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan anak-anak mereka yang hendak pergi ke sekolah atau ke mana sahaja.

“Perkara ini saya sudah nasihatkan kepada kedua-dua ibubapa budak tersebut agar membuat aduan polis untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim mengesahkan telah menerima laporan tersebut.

Katanya satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 8 (1) (e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah.

“Semua elemen di lapangan digerakkan bagi memaksimakan tahap keselamatan…

“Pihak polis juga menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi berita tidak sahih yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat serta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam sebuah kenyataan semalam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes diminta untuk segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-723961.