KOTA KINABALU: Jenazah Zara Qairina Mahathir, 13, tiba di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) pada lewat malam Sabtu untuk proses bedah siasat susulan perintah mahkamah.
Kenderaan polis membawa jenazah tiba di Jabatan Radiologi pada 10.30 malam untuk imbasan CT sebelum dipindahkan ke Jabatan Patologi Forensik kira-kira 20 minit kemudian.
Ketibaan itu disambut laungan Allahu Akbar dan “Justice for Zara” oleh kira-kira 100 penyokong yang hadir.
Peguam keluarga, Hamid Ismail, berkata bedah siasat dijadualkan pada 9 pagi Ahad oleh Dr Jessie Hiu dan dijangka selesai hari sama bagi membolehkan pengebumian semula.
Beliau berharap hasil pemeriksaan dapat membantu menjelaskan punca kematian dan membuka ruang kepada inkues.
Menurutnya, proses penggalian semula di Kampung Mesapol, Sipitang pada jam 6 petang mengambil masa 40 minit dalam keadaan hujan, disaksikan wakil JHEAINS, pejabat Mufti Negeri, pegawai forensik serta dihadiri Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah Jabatan Peguam Negara Sabah.
Ibu mangsa, Noraidah Lamat, dilihat berada di hospital sebelum meninggalkan kawasan itu menaiki kereta jenazah di tempat duduk hadapan sambil melambai kepada orang ramai.
Kes kematian Zara pada 17 Julai yang dikaitkan dengan dakwaan buli telah mencetuskan perhatian meluas.
Pada 29 Ogos 2024, pakar Hospital Lahad Datu, Dr Tay Tien Yaa, ditemui meninggal dunia dipercayai membunuh diri.
Keluarga mendakwa ia berpunca daripada buli di tempat kerja, namun siasatan pasukan khas bebas tidak menemui bukti konklusif.






