Polis Lumpuhkan Kartel Daging Sabah, Makanan Sejuk Beku RM20 Juta Dirampas

Polis Lumpuhkan Kartel Daging Sabah, Makanan Sejuk Beku RM20 Juta Dirampas

0
SHARE
Kartel
Antara rampasan produk ayam sejuk beku yang dibuat ( Sumber Foto: Ihsan IPK Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH ; Polis Sabah membuat rampasan terbesar tahun ini berkait aktiviti kartel daging rampasan bernilai RM20.4 juta selepas menyerbu dua gudang di Penampang pada Sabtu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Datuk Shahurinain Jais berkata serbuan antara agensi terbabit di Nambazan dan Jalan Penampang membongkar kegiatan penjualan makanan sejuk beku status halal yang diragui.

Mengulas lanjut antara produk jenis makanan yang dirampas adalah ayam sejuk beku, itik, tulang lembu, kambing, sotong, dan bebola daging pelbagai jenama.

“Makanan ini dipercayai berasal dari Brazil, Jerman, Poland, Sweden dan Australia. Kesemua negara ini tidak mematuhi piawaian halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Siasatan mendapati beberapa makanan telah tamat tempoh tetapi masih dijual dalam pembungkusan dengan logo halal palsu,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata pekerja gudang terdiri daripada 13 individu berumur 23 dan 38 tahun termasuk empat wanita telah disoal siasat bagaimana tiada tangkapan dibuat selain mereka didapati tidak mempunyai rekod lampau jenayah.

“Kami percaya terdapat banyak lagi sindiket kartel yang aktif di Sabah. Pasukan Perisikan Siasatan Khas Bukit Aman sedang berusaha untuk menangkap dalang di sebalik kes ini.

“Aktiviti seludup sebegini menyebabkan ketirisan dalam negara membantutkan ekonomi dengan manipulasi harga bahan makanan,” katanya.

Shahurinain berkata rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

Hukuman maksimum jika sabit kesalahan ialah denda RM50,000 dan penjara dua tahun.

Antara rampasan lain ialah empat lori, tujuh forklift dan satu set komputer.