KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 200 individu menyertai Persidangan BIMP EAGA Cyber Security (BECS) 2024, program tahunan anjuran Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) Sabah, pada Rabu.
Para peserta terdiri daripada jemputan dari rantau BIMP-EAGA, Ketua-Ketua Pegawai Digital, Pegawai-Pegawai Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), dan pegawai-pegawai ICT dari pelbagai kementerian, jabatan serta agensi kerajaan negeri Sabah.
Matlamat persidangan itu adalah untuk menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam agar lebih berkualiti, selamat dan mengutamakan keperluan pengguna.
Selain itu, BECS2024 menjadi salah satu usaha kerajaan negeri melalui JPKN ke arah memberikan jaminan kepada para pemegang taruh iaitu semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri Sabah bahawa keselamatan siber adalah agenda yang amat dititikberatkan.
Program tersebut menampilkan lima penceramah dari luar Sabah mewakili organisasi dan firma keselamatan siber serta telekomunikasi terkemuka iaitu Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CelcomDigi, Bitdefender, TIME dotCom, dan Sectron membincangkan konsep, perkembangan dan isu keselamatan siber terkini. — JABATAN PENERANGAN SABAH