Inovasi Siber Perlu Diteliti, Implimentasi Tingkat Keselamatan Perkhidmatan

Inovasi Siber Perlu Diteliti, Implimentasi Tingkat Keselamatan Perkhidmatan

0
SHARE
Arifin
Arifin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan BIMP EAGA Cyber Security (BECS) 2024 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Perkembangan inovasi siber perlu diteliti untuk diimplementasikan mengikut kesesuaian bagi meningkatkan keselamatan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata warga sektor awam perlu proaktif, cekap menghadam ilmu kompetensi digital dan perlu berada di barisan hadapan.

“Ini bagi meningkatkan pelaksanaan sistem penyampaian kerajaan yang menyeluruh serta selamat.

“Insiden jenayah yang berlaku telah menekankan beberapa perkara iaitu yang pertama, kebergantungan tinggi terhadap penyampaian perkhidmatan melalui teknologi maklumat dan komunikasi.

“Yang kedua, kelicikan penjenayah siber yang semakin teratur dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti mereka.

“Yang ketiga, cabaran besar yang kita hadapi dalam memastikan keselamatan siber, demi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dipulihkan segera sekiranya terjejas,” katanya semasa merasmikan Persidangan BIMP EAGA Cyber Security (BECS) 2024, pada Rabu.

Beliau turut memberitahu kerajaan serius dalam menyediakan pelbagai rangka kerja undang-undang sebagai landasan untuk menangani isu-isu berkaitan keselamatan siber.

“Contohnya, Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 yang telah diluluskan di Parlimen pada 27 Mac dan dijangka diwartakan pada suku ketiga tahun ini.

“Selain itu, bagi memastikan privasi dan keselamatan data, pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi (atau PDPA) 2010 telah diluluskan di Parlimen pada 16 Julai lalu dan dijangka diwartakan pada tahun ini.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula mengumumkan bermula 1 Januari 2025, semua pemberi perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohammad Hanafiah Mohammad Kassim dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah, Ernywati Dewi Abas. — JABATAN PENERANGAN SABAH