KPLB Sasar Percepatkan Setiap Projek Berkepentingan Rakyat Tahun Ini

KPLB Sasar Percepatkan Setiap Projek Berkepentingan Rakyat Tahun Ini

0
SHARE
Datuk Seri Mahdzir Khalid...

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan untuk menyegerakan setiap projek pembangunannya di luar bandar tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sehubungan itu, beliau berkata semua warga kementerian itu perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi merealisasikan anjakan paradigma untuk mengelak daripada terus berada dalam kepompong sama.

Katanya KPLB memerlukan anjakan paradigma dalam proses kerjanya bagi mengelak tempoh masa terlalu lama diambil dalam pelaksanaan projek sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

“Jadi bagaimana kita nak capainya, sudah tentulah kita memerlukan satu pasukan petugas yang benar-benar boleh melaksanakan untuk mencapainya,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Amanat KPLB 2022 semalam.

Beliau berkata KPLB perlu meningkatkan lagi pencapaiannya dengan meletakkan slogan baharu iaitu Luar Bandar, Luar Biasa.

“Pencapaian luar biasa ini boleh digapai oleh KPLB berdasarkan kejayaan melaksanakan perbelanjaan pembangunan lebih 99 peratus pada tahun lepas,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata KPLB turut mempunyai mandat dalam bidang pendidikan iaitu Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, sudah tiba masanya semua kementerian berkaitan duduk bersama dalam satu pasukan petugas untuk memikirkan pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak 2.0 supaya lebih sesuai dengan keperluan dan perkembangan dunia semasa.

“Institusi TVET KPLB juga perlu mengelak terlalu banyak pertindihan kursus yang sama dan tidak bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan…

“Kita tidak mahu timbul masalah pelajar ambil kursus kemudian dapat sijil tetapi tidak mendapat pekerjaan. Kita tidak boleh ambil pendirian hanya mahu penuhkan institusi pengajian tetapi tidak dapat memenuhi kehendak industri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata capaian Internet di sekolah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) perlu ditingkatkan sekali gus membolehkan kawasan sekitarnya mendapat manfaat.

“Kita kena fikir juga di luar macam mana kita nak buat, macam mana kita nak kerjasama supaya kita dapat, setidaknya kita dapat meningkatkan kesalinghubungan di sekolah-sekolah Kemas yang ada di seluruh negara,” katanya.

– BERNAMA