UMNO Sokong Sertai Kerajaan Perpaduan, Tetapi Bukan Diterajui PN

UMNO Sokong Sertai Kerajaan Perpaduan, Tetapi Bukan Diterajui PN

0
SHARE

KUALA LUMPUR – UMNO memuktamadkan keputusan menyokong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan seperti dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tetapi bukan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Ibu Pejabatnya di sini, malam tadi.

Beliau yang dipetik BH berkata, MKT turut mengambil maklum dan memperhalusi setiap butiran kedua-dua perbincangan dijalankan Jawatankuasa Perundingan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian itu menerusi kenyataan media tidak mendedahkan perincian berhubung perbincangan bersama kedua-dua gabungan berkenaan, mahupun menyatakan secara jelas sama ada menyokong PH bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Datuk Seri Ahmad Maslan…

“MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui PN bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dan makmur dapat dibentuk…

“MKT juga bersetuju semua wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Persekutuan atau lain-lain bentuk kerajaan yang balal dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong.

“MKT memperkukuh sokongan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember depan.