KLANG: Sebuah pesawat dilaporkan terhempas dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Kapar, di sini hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
“Saya hanya boleh mengesahkan kejadian namun tidak dapat perincian kerana hanya nampak bahagian ekor pesawat,” katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pihaknya sedang giat menjalankan siasatan kes itu dan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.
Hari ini, tular satu video berdurasi 17 saat yang memaparkan serpihan pesawat ringan terhempas di sebuah ladang kelapa sawit.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangor turut mengesahkan pesawat itu terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.56 tengah hari mengenai kejadian seterusnya segera menggerakkan anggotanya.
“Setiba di lokasi, didapati ada kejadian kapal terbang terhempas dan kerja-kerja mencari mangsa sedang dijalankan dan status mangsa belum diketahui,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Manakala Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao yang kini berada di tempat kejadian berkata, pihak polis masih mengumpul maklumat lanjut.
“Saya baru tiba di tempat kejadian, masih mengumpulkan maklumat lanjut,” katanya.