Semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat Mesti Laksanakan Tanggungjawab Dengan Penuh Integriti – KM...

Semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat Mesti Laksanakan Tanggungjawab Dengan Penuh Integriti – KM Sabah

0
SHARE
Sumber Foto; BERNAMA...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mengingatkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan komitmen, bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Katanya semua PPM dituntut supaya membantu wakil rakyat di kawasan masing-masing, memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Sekiranya saya dapati ada PPM yang gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik, saya sebagai Ketua Menteri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan, ini bagi memastikan aspirasi rakyat yang memilih kerajaan, dipenuhi,” katanya.

Berucap selepas menyaksikan majlis mengankat sumpah dan penyerahan watikah lantikan kepada 44 PPM di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini beliau berkata, PPM yang efisien juga membentuk asas yang kukuh di peringkat akar umbi, yang kemudiannya akan mewujudkan kerajaan yang teguh.

Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor…

Beliau turut mengingatkan PPM bahawa kerajaan hari ini berhadapan dengan cabaran hebat disebabkan pandemik COVID-19.

“Kita perlu bekerja keras untuk menggerakkan aktiviti bagi memulihkan ekonomi, namun ketika ini memang ia dihimpit oleh masalah sekatan pergerakan. Diharapkan apabila pandemik ini akhirnya tiada lagi di Sabah, kita akan dapat bekerja lebih keras lagi bagi melonjakkan ekonomi negeri,” katanya.