KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Ts. Mohammad Hamdan Wahid berkata pembinaan balai bomba di Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu akan bermula Ogos ini.
Beliau berkata, balai itu akan dijadikan pusat kebombaan bagi 35 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOSAR).
“Mereka ini terdiri daripada malim gunung yang telah banyak berjasa membantu pendaki-pendaki yang menghadapi masalah semasa proses pendakian Gunung Kinabalu…
“Pembinaan ini sebagai salah satu langkah bagi memastikan keselesaan bekerja agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan lebih cekap.
“Pembinaan juga merangkumi kawasan operasi, ruang latihan serta tempat penyimpanan peralatan yang dijangka akan bermula Ogos ini dan siap pada Disember jika tidak ada sebarang masalah,” ujar Hamdan.
Mengulas mengenai insiden banjir luar jangka yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini, ujar Hamdan pihaknya siapsiaga untuk menghadapi sebarang bencana alam yang mungkin berlaku.
“Antara persiapan yang dilakukan adalah penyediaan aset di barisan hadapan, pemantauan berterusan dan kolaborasi dengan agensi-agensi yang menyalurkan informasi yang berkaitan.
“Selain daripada itu, JBPM turut mengadakan beberapa siri latihan dan seminar kepada orang awam untuk memberikan kesedaran dan pengetahuan berkenaan langkah-langkah untuk menghadapi bencana alam, bantuan yang sesuai dan cara-cara menyelamatkan diri,” tambah beliau.






