Penunggang Motosikal Maut Terbabas Langgar Pokok di Bulatan Kopungit

Penunggang Motosikal Maut Terbabas Langgar Pokok di Bulatan Kopungit

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri sebelum melanggar pokok dan terjatuh ke dalam longkang dalam kemalangan di Bulatan Yu Sang, Kopungit, di sini, petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.41 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira empat minit kemudian.

Komander Operasi memaklumkan kemalangan tidak melibatkan kenderaan lain dan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pokok di tepi jalan.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.