KUNDASANG: Sebuah pusat penjaja moden bernilai RM2.275 juta bakal dibina di Kundasang bagi memberi manfaat kepada lebih 90 usahawan tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, projek di bawah KUSKOP melalui UDA Holdings Berhad dengan kerjasama Majlis Daerah Ranau itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 1.5 ekar, dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2026.
“Pusat ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi cerminan tekad kerajaan memperkukuh ekonomi rakyat akar umbi, khususnya penjaja kecil dan usahawan mikro,” katanya semasa Majlis Pecah Tanah Pusat Penjaja Moden Kundasang, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pusat tersebut akan dilengkapi gerai jualan, medan selera, tandas awam, surau dan stor bagi meningkatkan keselesaan penjaja dan pengunjung tempatan serta pelancong luar daerah.
Beliau menjelaskan, pembangunan itu merupakan kesinambungan konsep Tamu Desa dengan penambahbaikan dari segi reka bentuk moden bercirikan identiti tempatan dan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, projek tersebut dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) menerusi program Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) yang memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur keusahawanan di seluruh negara.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Ranau dan Bank Rakyat atas sokongan mereka, termasuk pelaksanaan Skim Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) dan Program Jajahan Bank Rakyat bagi memperkukuh aspek pembiayaan dan pendigitalan perniagaan.
“Kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan sektor kewangan mencerminkan semangat ‘Whole of Government’ dalam melahirkan penyelesaian inovatif untuk rakyat,” katanya.
Beliau berharap pembinaan pusat tersebut menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan sektor pelancongan luar bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).






