KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an ditemukan rentung selepas rumah tidak kekal yang didiaminya di Kampung Bangkahak Sunsum, Kota Belud, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 2.00 pagi.
Susulan itu katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud yang diketuai PBK II Jasree Mar bersama 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 13 kilometer.
Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.14 pagi dan mendapati rumah jenis tidak kekal berkeluasan 50×50 kaki telah terbakar 100 peratus.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah offensive dengan satu aliran hos sepanjang 100 kaki dan dua pancutan air daripada tangki jentera.
Komander operasi melaporkan, seorang mangsa wanita ditemukan rentung di bilik tidur selepas api berjaya dikawal pada jam 2.50 pagi. Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan tamat sepenuhnya pada jam 5.30 pagi.
Turut membantu di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta SESB bagi urusan keselamatan kawasan dan bekalan elektrik.
Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk berkata, siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran dan anggaran kerugian sedang dijalankan.
“Pasukan kami bertindak pantas bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berdekatan. Malangnya, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri kerana dipercayai terperangkap di bilik tidur,” katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.






