Pemuda GRS Sulabayan persoal tindakan Amanah ‘intai’ kerusi Warisan

Pemuda GRS Sulabayan persoal tindakan Amanah ‘intai’ kerusi Warisan

0
SHARE
lokolo1 - 1

SEMPORNA, 25 Okt – Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sulabayan menyifatkan hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-17 Sabah, sebagai tidak relevan dan tidak berpijak pada realiti politik tempatan.

Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sulabayan, Azlan Hisham, berkata Amanah tidak mempunyai kekuatan akar umbi mahupun cawangan aktif di kawasan berkenaan, apatah lagi rekod pilihan raya menunjukkan parti-parti nasional lain seperti UMNO dan PKR turut gagal menembusi Sulabayan sebelum ini.

“Amanah tidak mempunyai keanggotaan yang signifikan di peringkat akar umbi. Malah, masyarakat Sulabayan bukan menuntut agenda agama semata-mata kerana Islam sudah lama subur di sini — yang rakyat mahukan kini ialah pembangunan dan kemajuan selaras dengan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, menyatakan kesediaan parti itu untuk bertanding di kerusi DUN Sulabayan pada PRU ke-17 Sabah sekiranya diberi mandat oleh Pakatan Harapan (PH).

Menurut Faiz, kerusi berkenaan dilihat relevan dengan Amanah kerana majoriti penduduknya beragama Islam, selaras dengan dasar perjuangan parti itu yang berteraskan nilai-nilai Islam.

Mengulas lanjut, Azlan berkata GRS sebagai parti kerajaan negeri mempunyai keupayaan, jaringan dan pengalaman mentadbir untuk memastikan pembangunan yang mampan serta kebajikan rakyat terus terpelihara.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Amanah yang berhasrat meletakkan calon di Sulabayan sedangkan kawasan itu merupakan kubu kuat Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

“Di peringkat pusat, Warisan dan Amanah kini berada dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi mengapa Amanah memilih kawasan Presiden Warisan yang jelas menjadi pesaing kepada kerajaan GRS? Langkah ini dilihat tidak bijak dan bercanggah dengan semangat perpaduan yang kononnya mereka perjuangkan,” katanya.

Tambahnya, Pemuda GRS Sulabayan yang memiliki lebih 6,000 ahli akar umbi yakin dan bersedia mempertahankan kerusi Sulabayan agar kekal di bawah pentadbiran GRS dalam PRN akan datang.

“Amanah sebagai parti kecil di peringkat pusat wajar menilai kemampuan sendiri sebelum membuat pengumuman yang boleh menimbulkan kekeliruan atau persepsi negatif terhadap kerjasama politik sedia ada,” katanya lagi.

Azlan menegaskan, rakyat Sulabayan tidak memerlukan percaturan politik luar yang tidak memahami denyut nadi masyarakat tempatan, sebaliknya mahu kesinambungan pembangunan dan kestabilan di bawah pentadbiran GRS.

“Fokus kami ialah pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat setempat di bawah panji GRS,” katanya.