TUARAN, SABAH – Persembahan tarian Mongigol Dusun Tindal daripada Persatuan Warisan Budaya Tenghilan meraikan kedatangan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024.
Seramai 10 orang penari daripada persatuan berkenaan membuka tirai Program KMJG Peringkat Daerah Tuaran yang dirasmikan oleh wakil Ketua Menteri, Datuk Jahid Jahim.
Dalam program sama, Jahid menyerahkan watikah kepada 12 orang pengerusi Komuniti Madani bagi Daerah Tuaran selain menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak bagi pertandingan mewarna antara Tadika Perpaduan sekitar Tuaran.
Sebagai simbolik kedatangan konvoi di Daerah Tuaran, Jahid menandatangani buku catatan perjalanan KMJG sebelum menyempurnakan pelepasan konvoi di perkarangan dewan.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Jamlin Ladin serta Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor yang juga ketua konvoi KMJG 2024. — JABATAN PENERANGAN SABAH