Konvoi KMJG Semarakkan Kemerdekaan KPKPR Ranau

Konvoi KMJG Semarakkan Kemerdekaan KPKPR Ranau

0
SHARE
Jonathan
Jonathan menyempurnakan flag off konvoi KMJG ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

RANAU, SABAH – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 menyemarakkan semangat kemerdekaan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Ranau (KPKPR).

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin bersama lebih kurang 100 orang penjawat awam menyambut ketibaan konvoi KMJG di perkarangan kawasan KPKPR.

Menurut beliau, program yang diadakan saban tahun anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu sangat baik dalam menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan.

“Program sebegini dapat membantu masyarakat mengingati tentang erti kemerdekaan yang dinikmati oleh rakyat Sabah di dalam negara ini.

“Diharapkan program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan diperluaskan ke kawasan-kawasan kampung agar masyarakat dapat turut sama merasai nikmat kemerdekaan,” katanya lagi ketika ditemui media selepas merasmikan Program KMJG peringkat Daerah Ranau.

Jonathan memaklumkan bahawa penjawat awam memain peranan penting dalam mempengaruhi masyarakat untuk memahami dasar kerajaan.

Menurut beliau, penjawat awam perlu memberikan contoh yang baik kerana mereka merupakan mata dan telinga kerajaan yang mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat.

Dalam majlis yang sama, Jonathan turut menyaksikan penyampaian watikah kepada sembilan Pengerusi Komuniti Madani sekitar daerah Ranau sebelum menyempurnakan pelepasan konvoi KMJG untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH