Cuaca Amaran Waspada, Hujan Lebat Akan Berlaku Lagi Di Sabah – MET...

Cuaca Amaran Waspada, Hujan Lebat Akan Berlaku Lagi Di Sabah – MET MALAYSIA

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET MALAYSIA) mengeluarkan cuaca amaran waspada dengan menjangkakan hujan lebat akan berlaku lagi di Pantai Barat Sabah hari ini (8 Sept).

Satu kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 9.30 pagi tadi menyatakan kawasan terlibat adalah Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Kudat.

“Kawasan Pedalaman Sabah termasuk Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort…

“Adalah dinasihatkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri atau Daerah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sumber Foto: MET MALAYSIA…

Mengikut kata Jabatan Meteorologi, amaran waspada bermaksud hujan berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu (1) hingga (3) hari lagi atau hujan berterusan sedang berlaku tetapi belum mencapai tahap hujan lebat berterusan.

Dalam pada itu, hujan lebat yang turun selama empat (4) hari berturut-turut minggu lalu telah mengakibatkan banjir kilat yang mana telah meragut nyawa dua (2) orang yang dihanyutkan ketika cuba melintas jambatan menggunakan sebuah kenderaan jenis perodua MYVI di Jalan Kionsom, di Inanam.

Sementara itu, pada hari yang sama, mayat seorang warga emas lelaki turut ditemui dalam longkang berhampiran Cherry Club, Kolombong, juga di Inanam, dipercayai terjatuh dan lemas.

Pada malam itu juga, dua bangunan di Wad Tibi Hospital Queen Elizabeth musnah bersama tiga (3) kereta dan satu (1) motosikal kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia akibat tanah runtuh.

Tanah runtuh yang memusnahkan makmal dan stor wad Tuberkulosis (TIBI) Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu…

Manakala, di Beaufort, 60 keluarga terdiri daripada lebih 200 individu dipindahkan ke kawasan penempatan sementara selama tiga (3) hari untuk menunggu air banjir reda.

Pada ketika artikel ini ditulis, hujan sudah mula turun merintik dan langit bertukar gelap di kawasan Pusat Bandaraya Kota Kinabalu dan pihak Sabah News menasihati agar semua warga penduduk mengambil langkah keselamatan masing-masing.