KOTA MARUDU, SABAH – Penduduk Kampung Melangkap Darat sini telah menemui mayat mangsa kanak-kanak perempuan yang dihanyutkan kepala air semalam.
Petanda buruk pertama adalah pada pukul 7 pagi tadi, semasa hari kedua pencarian, iaitu penemuan seluar milik mangsa kira-kira 2 kilometer dari kawasan beliau dilaporkan hanyut.
Elzanatira Asod, 10, akhirnya ditemui orang kampung bersama pihak Bomba serta agensi penyelamat bantuan termasuk pihak Polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela, 5 kilometer kemudian.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata, seramai 30 orang kampung berganding bahu bagi membantu dalam misi pencarian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Pada 4 petang semalam, mangsa dikatakan sedang pulang ke rumah dari kebun bersama ahli keluarga apabila dihanyutkan kepala air ketika cuba menyeberangai sungai.