Pindaan Akta LHDN Bukti Kejayaan GRS, Bukan Kegagalan – Armizan Tempelak Azis...

Pindaan Akta LHDN Bukti Kejayaan GRS, Bukan Kegagalan – Armizan Tempelak Azis Jamman

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa pindaan terhadap Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 merupakan bukti kejayaan GRS dan komitmen Kerajaan Madani dalam memperjuangkan hak Sabah serta Sarawak di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman yang mendakwa pindaan itu menunjukkan kegagalan Armizan.

“Fakta sebenarnya, isu pelantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam LHDN adalah agenda baharu hasil perbincangan dalam Majlis Khas MA63 semasa pentadbiran GRS di Sabah dan GPS di Sarawak. Ia tidak pernah dibangkitkan semasa Warisan menjadi kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Armizan, pelantikan Datuk Petrus Gimbad sebagai wakil Sabah ke LHDN pada September 2022 dibuat atas syor Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, manakala pindaan akta bagi menginstitusikan pelantikan wakil kedua-dua negeri diluluskan pada tahun 2023.

“Ini kemenangan untuk Sabah dan juga Persekutuan kerana buat pertama kali dalam 60 tahun, wakil Sabah dan Sarawak dijamin dalam undang-undang bagi terlibat dalam pelaksanaan dasar percukaian negara,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pindaan itu memperuntukkan pelantikan wakil dibuat oleh Menteri Kewangan “setelah berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak”, bagi memastikan fleksibiliti pelantikan tanpa mengehadkan kepada pegawai awam negeri semata-mata.

Menjawab tuduhan Warisan, Armizan berkata, parti itu sekadar cuba memutar isu kerana tidak mampu menunjukkan rekod pencapaian semasa berkuasa.

“GRS tidak mencari kemenangan peribadi, tetapi kemenangan untuk rakyat Sabah. Kami tidak gah menggelar diri penyelamat Sabah, tetapi kami mengajak semua pihak untuk bersama menjaga rumah kita, Rumah Kita, Kita Jaga,” katanya.