BAITULMAQDIS – Dos keempat vaksin COVID-19 akan dikenakan kepada individu berusia lebih 60 tahun, demikian menurut Israel yang bimbang akan penularan varian baharu Omicron.
Panel pakar Kementerian Kesihatan mengesyorkan suntikan keempat, keputusan yang disifatkan Perdana Menteri, Naftali Bennett sebagai ‘berita hebat yang akan membantu mengatasi penularan gelombang Omicron di seluruh dunia’.
Walaupun keputusan itu masih menunggu kelulusan rasmi pegawai kanan kesihatan, Bennett menggesa rakyat Israel segera mendapatkan dos keempat selain menjelaskan mesejnya ialah jangan buang masa, pergi dapatkan vaksin.
Ia susulan kematian pertama di Israel membabitkan pesakit dengan varian Omicron, di mana sebuah hospital Israel baru-baru ini mengesahkan kematian itu tetapi berkata mangsa turut mengalami beberapa masalah kesihatan sedia ada yang serius.
Memetik laporan BH, Pusat Perubatan Soroka di Beersheba berkata lelaki berusia 60-an itu meninggal dunia semalam, dua minggu selepas dimasukkan ke wad COVID-19.
Hospital itu, dalam satu kenyataan, berkata pesakit terbabit mengalami pelbagai penyakit lain yang serius.
“Morbiditinya adalah punca utama penyakit sedia ada dan bukan daripada jangkitan pernafasan akibat COVID-19,” katanya.
Kementerian Kesihatan semalam berkata sekurang-kurangnya 340 kes Omicron dikenal pasti di Israel dan kes dikhuatiri berganda jika langkah segera tidak diambil.
Israel minggu ini memperluaskan larangan perjalanan ke beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Jerman, Itali, Turki dan Kanada bagi membendung penularan virus itu.
Pejabat Bennett berkata, ia juga sudah meluluskan arahan mengurangkan 50 peratus kehadiran ke pejabat untuk pekerja sektor awam bagi menggalakkan lebih ramai bekerja dari rumah.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Benny Gantz mengarahkan Komando Homefront tentera bersiap sedia menghadapi kemungkinan 5,000 kes baharu setiap hari, menurut pejabatnya.