LAHAD DATU: Seorang remaja perempuan membuat cubaan bunuh diri dengan terjun dari tingkat satu bangunan kedai dalam kejadian di Reno Fajar, Lorong 6 daerah ini, semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamatan (BBP) Lahad Datu, Mohd Suait Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.11 malam.
Katanya, seramai tujuh anggota pasukan Bomba dari BBP Lahad Datu telah dikejarkan ke lokasi kejadian yang berada sejauh 5 kilometer.
“Terdapat seorang remaja perempuan yang dikenali sebagai Bella, 14 tahun cuba bunuh diri dengan bertindak untuk terjun dari tingkat satu di bangunan kedai.
“Bagaimanapun, pasukan Bomba berjaya menyelamatkan mangsa dari cubaan bunuh diri dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 8.51 malam.