LABUAN: Program Ikan Rakyat Sabah (IRS) yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (SAFMA) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negeri dengan menyediakan bekalan ikan segar dan berkualiti pada harga mampu milik.
Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar berkata, program itu memastikan semua lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat akses kepada sumber protein tanpa dibebani peningkatan kos sara hidup.
“IRS bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membantu meningkatkan pendapatan nelayan tempatan melalui pembelian terus hasil tangkapan, sekali gus mewujudkan rantaian bekalan yang lebih cekap dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai program Road to MAHA 2026 Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, hari ini.
Burhan berkata, penyertaan SAFMA dalam pameran itu menjadi platform memperkenalkan IRS kepada masyarakat selain mempromosikan perkhidmatan, produk makanan laut dan peluang kerjasama melalui pendaftaran Rakan Niaga SAFMA.
Katanya, pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat produk makanan laut, menikmati Menu Rakyat berasaskan hasil laut serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif sepanjang pameran.
Menurutnya, selaras dengan aspirasi Ekonomi Biru Sabah, SAFMA akan terus memperluaskan pelaksanaan IRS menerusi pembangunan kemudahan penyimpanan sejuk beku, bekalan ais blok, penghasilan produk nilai tambah, peluasan rangkaian serta inisiatif Zero Waste Fisheries.
“Program ini bukan sekadar menyediakan ikan pada harga berpatutan, malah menjadi pelaburan jangka panjang dalam membina ekosistem perikanan mampan, meningkatkan pendapatan nelayan dan menjamin bekalan makanan,” katanya.
Dalam lawatan kerja itu, delegasi SAFMA turut meninjau Pasar Ikan Labuan dan Kompleks Perikanan LKIM Labuan bagi melihat operasi pemasaran serta rantaian bekalan hasil perikanan di wilayah berkenaan.
Turut hadir Timbalan Pengurus Besar SAFMA, Azis Ali Amat, bersama barisan pengurusan SAFMA.






