KOTA KINABALU, SABAH – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang dijadualkan pada 26 Sept ini bekemungkinan akan DIBATALKAN.
Ini berlaku selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan akan mendengar permohonan Datuk Jahid@Noordin Jahim untuk menggantung keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan pengeluaran writ atau notis untuk PRN Sabah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan cabaran Tan Sri Musa Aman ini.
Mahkamah dijangka akan bersidang pada jam 9.00 pagi esok.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada Tan Sri Musa Aman untuk mencabar kesahan Ketua Menteri Sabah apabila dua (2) daripada tiga (3) hakim bersetuju untuk membenarkan Musa meneruskan rayuan mencabar pelantikan Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri yang sah.
Dalam keputusan majoriti 2-1 itu, Mahkamah Persekutuan yang bersidang pada 26 Ogos lalu memberi izin kepada Musa Aman bagi meneruskan rayuannya terhadap saman untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.
Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof, yang turut bersidang, membuat keputusan memihak kepada Musa manakala Mohd Zawawi menentang.
Abdul Rahman membenarkan permohonan itu dengan sepuluh (10) isu perundangan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan tersebut.
Dalam penghakiman 34 halaman, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, berkata :
“Merit rayuan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman perlu didengar demi kepentingan awam dan bukannya ditolak sebagai bersifat akademik.”
“Sudah diketahui umum bahawa ini bukan kali pertama rakyat Sabah menghadapi kemelut politik dan krisis perlembagaan seperti ini, dan ini bukan yang terakhir jika tidak diselesaikan oleh mahkamah ini.”
“Amat penting bagi Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada kedudukan undang-undang sebagaimana yang ditafsirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes ini, merupakan kedudukan undang-undang yang betul.”
“Ini untuk mengelak berlakunya krisis perlembagaan, yang berpotensi untuk berulang setelah keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.”
“Rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Tan Sri Musa sebagai Ketua Menteri yang dilantik secara sah dilakukan secara sah, mengikut undang-undang dan menurut Perlembagaan Sabah.”
“Yang Dipertua Negeri Sabah telah menyingkirkan Musa dalam masa kira-kira 48 jam, dan Musa tidak diberi kesempatan untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).”
“Kes Musa berbeza dengan kes di Perak yang mana Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah memohon untuk membubarkan DUN mengikut Perlembagaan Perak tetapi kemudiannya ditolak oleh Sultan Perak.”
“Tidak seperti Sultan Perak, yang merupakan Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri Sabah diwujudkan mengikut Perlembagaan Sabah.”
“Mahkamah Rayuan, yang berpendapat rayuan Musa bersifat akademik, menggunakan jalan penyelesaian mudah tanpa menjawab persoalan asas perlembagaan di hadapannya.”
Dalam pada itu, Penganalisis Politik Dr. Kamarul Yusoff menjangkakan Tan Sri Musa Aman akan MENANG dalam perbicaraan tersebut.
Dr. Kamarul berkata antara hujah-hujah kuat peguam Tan Sri Musa Aman ialah bahawa, Yang di-Pertua Negeri telah memintas proses perlembagaan di dalam memecat Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah tanpa terlebih dahulu memberikan peluang kepada Tan Sri Musa Aman untuk meminta pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kes ini bertentangan dengan kes Perak di mana Menteri Besar Perak meminta pembubaran Dewan Undangan Negeri selaras dengan Perkara 16(6) Perlembagaan Perak yang kemudiannya tidak diperkenankan oleh Sultan Perak. Hanya permintaan ini dibuat dan ditolak barulah Menteri Besar Perak boleh dipecat oleh Sultan dari jawatan beliau.”
“Yang di-Pertua Negeri perlu mewawancara semula semua Ahli Dewan Undangan Negeri atau majoriti daripada mereka sebelum melantik Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah. Yang di-Pertua Negeri sebaliknya hanya mewawancara enam (6) Ahli Dewan Undangan Negeri yang membuat akuan bersumpah bahawa mereka menukar sokongan daripada Tan Sri Musa Aman kepada Datuk Seri Shafie Apdal.”
Dr. Kamarul berkata lagi “satu perkembangan yang sangat menarik nampaknya, dan ini adalah selari dengan anjuran saya sebelum ini agar permohonan sebegini dibuat secara rasmi di mahkamah.”