PENAMPANG, SABAH – Hujan lebat yang berterusan dari jam 1.40 pagi tadi sehingga subuh membanjiri sekurang-kurangnya TUJUH (7) kawasan dalam daerah ini.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah melaporkan bacaan paras air Sungai Moyog berada pada 8.82 meter dimana 9 meter adalah paras bahaya.
Kampung yang terjejas adalah Kobusak, Sugud, Kibabaig, Mogonibung dan Kohizan termasuk Millenium Heights Bundusan dan Taman Landmark.
“Jalan-jalan yang dinaiki air termasuk Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Sugud, Jalan Kolopis, dan bulatan Bundusan berhampiran Pavillion,” kata sumber APM.
Dalam pada itu, sekeluarga di Sugud merasa hampa apabila kerja-kerja pembersihan lumpur separuh jalan dari kesan banjir yang melanda rumah mereka bulan lalu nampaknya terpaksa dimulakan semula.
Jabatan Meterologi Malaysia semalam meramal angin kencang dan laut bergelora (Kategori Pertama) dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter dijangka berterusan di Pantai Barat Sabah sehingga Khamis.