
KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyertai kira-kira 1,000 jemaah dalam Majlis Tahlil bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul 1446H dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024,
Beliau diiringi Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang dekat sini, pada Jumaat.
Dalam majlis tersebut, bacaan Surah Yasin dipimpin oleh Imam Masjid Negeri Suhaidi Kuanting manakala, bacaan doa selamat dipimpin oleh Timbalan Mufti, Datuk Abdul Manap Lakariba.
Majlis diikuti dengan khutbah Jumaat bertajuk, “Rasulullah SAW Pelopor Pembentukan Masyarakat Madani Jiwa Merdeka” oleh Manap sebelum solat Jumaat serta solat sunat hajat yang diimamkan oleh Suhaidi. — JABATAN PENERANGAN SABAH