KIEV, UKRAINE – Presiden Ukraine memberitahu pada Jumaat, bahawa negaranya kini “ditinggalkan bersendirian” untuk melawan tentera Rusia selepas 130 penduduk Ukraine telah terkorban akibat pencerobohan besar-besaran Kremlin.
Menurut laporan AFP, Volodymyr Zelensky menyatakan bahawa lebih 130 orang termasuk orang awam dan tentera terkorban sepanjang tempoh 24 jam pencerobohan Rusia.
Manakala, sejumlah 316 orang lagi cedera.
“Kita telah ditinggalkan bersendirian untuk mempertahankan negara kita…
“Siapa yang bersedia untuk berjuang bersama kita? Saya tidak nampak sesiapa.
“Siapa yang bersedia untuk memberi Ukraine jaminan keanggotaan NATO? Semua orang takut,” kata Zelensky dalam ucapan video kepada rakyat Ukraine selepas tengah malam.
Zelensky juga berkata, ‘kumpulan pensabotaj’ Rusia telah memasuki ibu kota Ukraine, Kiev dan menggesa warga kota supaya terus berwaspada serta mematuhi perintah berkurung.
Presiden itu menegaskan bahawa beliau dan keluarganya masih kekal di Ukraine, walaupun Rusia mengenal pasti dirinya sebagai “sasaran nombor satu”.
“Mereka (Rusia) mahu memusnahkan Ukraine secara politik dengan menghapuskan ketua negara (beliau sendiri),” kata Zelensky.