Lebih 200 Setinggan Haram Diroboh di Kg Bandulan dan di Tanah Milik...

Lebih 200 Setinggan Haram Diroboh di Kg Bandulan dan di Tanah Milik DBKK

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lebih 200 rumah dan struktur setinggan haram di sekitar Kampung Bandulan serta di atas tanah milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dirobohkan menerusi dua operasi penguatkuasaan berasingan baru-baru ini.

DBKK dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 206 struktur setinggan haram berjaya dirobohkan membabitkan 166 rumah di kawasan setinggan bersebelahan Kampung Bandulan dan 40 lagi struktur di atas tanah milik DBKK.

Menurut kenyataan itu, operasi di Kampung Bandulan dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKK dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity dan Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (BKKP), melibatkan seramai 46 anggota penguat kuasa.

“Terdahulu, Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Jabatan Penguatkuasaan DBKK telah menjalankan bancian pada 11 dan 12 Jun lalu sebelum mengenal pasti sebanyak 166 rumah yang dibina secara haram.

Kesemua struktur berkenaan kemudian diberikan Notis Pengosongan, Pengalihan dan Perobohan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan pada 16 hingga 17 Julai, sekali gus menyaksikan semua struktur tersebut berjaya dirobohkan,” menurut kenyataan itu, di sini, semalam.

Dalam operasi berasingan pada 20 Julai, DBKK turut merobohkan 40 struktur setinggan haram yang dibina di atas tanah miliknya.

Menurut DBKK, notis pengosongan, pengalihan dan perobohan telah diserahkan kepada penghuni terbabit pada 11 Julai sebelum operasi dijalankan dengan kerjasama PDRM, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Air Negeri Sabah serta Sabah Electricity.

DBKK menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan tanah kerajaan dan pembinaan struktur haram.

“DBKK akan terus melaksanakan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan yang telah dibersihkan kekal bebas daripada penempatan setinggan haram dan mengelakkan pembinaan struktur baharu,” menurut kenyataan itu.