PKS Sabah Digesa Percepat Pendigitalan Bagi Kekal Berdaya Saing

PKS Sabah Digesa Percepat Pendigitalan Bagi Kekal Berdaya Saing

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah digesa mempercepat pendigitalan, mengukuhkan tadbir urus serta mengguna pakai strategi berasaskan data bagi kekal berdaya saing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, langkah itu kini menjadi keperluan asas untuk pertumbuhan mampan dalam persekitaran perniagaan yang semakin berubah.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai lebih 1.08 juta PKS yang merangkumi 96.1 peratus daripada keseluruhan perniagaan, menyumbang 39.5 peratus kepada KDNK bernilai RM652.4 bilion serta menyediakan 8.1 juta pekerjaan.

Perusahaan di Sabah perlu meningkatkan daya saing dan meneroka pasaran luar seiring usaha negeri menjadi hab pelaburan serantau,” katanya ketika merasmikan Jelajah Platinum Business Awards (PBA) 2026 di sini, Jumaat.

Menurutnya, kerajaan akan terus memperkukuh infrastruktur, kesalinghubungan dan sokongan perniagaan di bawah agenda Sabah Maju Jaya.

Beliau turut menegaskan perubahan teknologi pesat termasuk kecerdasan buatan serta jangkaan pengguna yang semakin berkembang menuntut transformasi berterusan dalam operasi perniagaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan PKS Sabah Dr Deledda Tan Hui San berkata program itu menjadi platform perkongsian ilmu dan kerjasama, khususnya dalam transformasi digital, ESG dan strategi pertumbuhan.

Katanya, prestasi syarikat Sabah dalam PBA sebelum ini juga memberangsangkan dengan 10 syarikat memenangi 11 anugerah pada 2023 dan sembilan syarikat meraih 10 anugerah pada 2025.

Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia Dr Chin Chee Seong pula berkata jelajah berkenaan bertujuan membawa peluang terus kepada usahawan di seluruh negara, selain mengukuhkan ekosistem PKS melalui kerjasama kerajaan, industri dan institusi kewangan.