PELANTIKAN ASYRAF WAJDI SEBAGAI PENGERUSI MARA MEMBIMBANGKAN – PENGANALISIS

PELANTIKAN ASYRAF WAJDI SEBAGAI PENGERUSI MARA MEMBIMBANGKAN – PENGANALISIS

0
SHARE
Edmund
Pakar ekonomi politik, Profesor Dr Edmund Terence Gomez ( Sumber Foto: Gambar Google )

KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi politik, Profesor Dr Edmund Terence Gomez menyuarakan kebimbangannya berhubung pelantikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu.

Memetik sumber Malaysia Kini, disamping
menyifatkan pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO itu sebagai “salah”, Gomez turut mempersoalkan sekiranya ia bermotifkan politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang ini.

“Kamu tidak boleh ambil ahli politik UMNO dan letakkan mereka dalam salah satu GLC terpenting di negara ini.

“GLC ini harus mempunyai akar yang penting hingga ke akar umbi dan dengan pilihan raya negeri yang akan datang, ini menimbulkan tanda-tanda amaran sama ada ini dilakukan dengan niat baik atau ia dilakukan kerana sebab politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah forum bertajuk ‘Rasuah sebagai Masalah Ekonomi’ di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, hari ini.

Pelantikan Asyraf berkuat kuasa pada 10 Mac, dan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dua hari kemudian.

Asyraf Wajdi, 47, yang juga Sekretariat Kerajaan Perpaduan sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkuat kuasa 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.

Sebelum ini, jawatan Pengerusi MARA disandang Datuk Azizah Muhd Dun sejak 1 Mei 2020.

MARA merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang turut diterajui oleh Zahid.

Sementara itu, Gomez menegaskan lantikan politik dalam GLC adalah satu ruang untuk salah guna kuasa.

Pada masa sama beliau juga mempersoalkan jika ia juga boleh dilihat sebagai amalan korupsi, memandangkan tiada perundangan yang dapat digunakan sebagai asas untuk menanganinya.

“Perlu ada penilaian yang wajar terhadap keseluruhan sistem GLC di mana syor-syor yang sesuai dikemukakan. Mengapa kita belum bergerak ke arah ini?” soalnya.

Namun Gomez mengakui pelantikan politik boleh dipertimbang untuk sesetengah GLC, termasuk Khazanah Nasional Berhad.

Mengulas lanjut, beliau berkata jawatan pengerusi Khazanah Nasional biasanya dipegang Perdana Menteri di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik secara rasmi sebagai pengerusinya pada 3 Januari lalu.

Antara lantikan politik lain ke dalam GLC mutakhir ini antaranya Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Felcra Berhad dan Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang,
Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik
sebagai Pengerusi MyCreative Ventures.