KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyuarakan persetujuannya terhadap pendirian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu mempertimbangkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan GRS selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Menurut Armizan, kenyataan Bung itu memberi gambaran jelas bahawa pertembungan antara kedua-dua blok BN, GRS adalah tidak dapat dielakkan.
“Saya bersetuju dengan Bung, biarlah GRS dan BN bertembung dalam PRN Sabah yang akan datang. Semua pihak perlu tunaikan hajat Bung ini. Tidak ada sesiapa, walau di peringkat mana sekalipun, wajar membelakangkan pendirian beliau sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah yang berautonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan yang juga Ahli Parlimen PAPAR berkata, pertembungan tersebut penting bagi mengukur kekuatan sebenar setiap pihak dan mengakhiri segala dakwaan serta tuduhan bahawa kemenangan sesetengah calon adalah hasil daripada bantuan pihak lain.
“Hanya dengan bertarung kekuatan sebenar akan menoktahkan isu siapa khianat dan siapa yang kuat,” tegasnya.
Bagaimanapun, Armizan menjelaskan bahawa kenyataan beliau adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili GRS secara rasmi.
Beliau turut menyentuh pendirian terbuka GRS yang diumumkan sebelum ini oleh Pengerusi GRS untuk meneruskan kerjasama bersama parti-parti yang membentuk Kerajaan Negeri, khususnya GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“PH menunjukkan komitmen terhadap kestabilan apabila menolak Langkah Kinabalu dan menyokong Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri dan hari ini, kerajaan negeri berjalan dengan baik hasil kerjasama sedia ada,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa kebersamaan GRS dan BN dalam Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan tidak sepatutnya menjadi halangan kepada pertembungan di peringkat negeri.
“Kita perlu jelas, tidak ada terkandung dalam MoU Kerajaan Perpaduan bahawa kerjasama itu wajib diteruskan di peringkat negeri. PRN ini adalah untuk memilih kerajaan negeri, bukan kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Tambah beliau, pertembungan antara parti-parti kerajaan di peringkat negeri bukan perkara baharu, seperti yang pernah berlaku di Sabah, Melaka dan Johor sebelum ini.
“Bekerjasama atau tidak, perkara ini tidak seharusnya dijadikan polemik berpanjangan. Sebaiknya kita bagi seluas-luas pilihan dan biar rakyat menilai serta membuat keputusan,” katanya.
Kenyataan ini dilihat bakal mencorakkan hala tuju politik Sabah menjelang PRN17 dan memberikan isyarat awal kepada pengundi mengenai landskap pertembungan politik yang semakin jelas terbentuk.






